Nampak Serupa, Tapi Ini 5 Perbezaan Antara Marjerin Dan Butter
“Eh, kelirulah nak pilih butter atau marjerin ni. Dahlah packaging lebih kurang sama. Rasanya pun mesti lebih kurang aja. Yang mana satu nak beli?”
Butter (mentega) dan margerine (marjerin) memang selalu kita gunakan untuk sapu pada roti, buat biskut, atau kek. Walaupun nampak serupa, sebenarnya terdapat perbezaan antara kedua bahan ini yang mungkin anda tak tahu.
5 PERBEZAAN ANTARA MARJERIN DAN MENTEGA (BUTTER)
1. BAHAN UTAMA
Butter adalah sejenis produk tenusu manakala marjerin tidak diperbuat daripada hasil tenusu. Maka, sesiapa yang alah pada produk tenusu boleh menggunakan marjerin sebagai alternatif. Marjerin juga sesuai bagi orang yang mengalamalkan diet vegetarian.
Marjerin: Diperbuat daripada minyak sayuran, garam dan emulsifier (bahan penstabil). Marjerin asalnya mendapat nama tersebut daripada sejenis lemak asid yang digelar ‘margaric acid’, yang terbentuk melalui proses pembuatannya.
Butter: Diperbuat daripada susu atau krim. Perkataan butter pula berasal daripada istilah Greek iaitu boutoron yang bermaksud keju lembu.
2. PROSES PEMBUATAN
Marjerin: Melalui proses hydrogenation di mana minyak sayuran berbentuk cecair ditukarkan kepada pepejal atau separa pepejal.
Butter: Proses pembuatan butter melibatkan pengadukan (churning), pempasteuran dan pemadatan. Biasanya dijual dalam 2 bentuk iaitu salted atau unsalted. Disebabkan ini, butter lebih sesuai digunakan dalam memasak makanan bayi.
3. RASA
Walaupun rasa kedua-duanya mungkin sukar dibezakan, namun ianya memiliki rasa yang tersendiri.
Marjerin: Rasa marjerin lazimnya bergantung kepada jenis minyak yang digunakan dalam pembuatannya, jadi anda kena tengok label betul-betul. Selalunya produk yang mengandungi kandungan lemak yang lebih tinggi lebih sedap. Ini kerana, jenis yang kurang lemak mengandungi lebih banyak air dan boleh menjejaskan tekstur kek atau biskut.
Butter: Bagi yang selalu menggunakan dalam kuantiti banyak untuk membuat cookies atau kek anda mungkin akan perasan yang butter dapat memberi rasa yang lebih creamy, bau yang wangi serta tekstur yang cantik kepada biskut dan pastri.
4. KANDUNGAN NUTRISI
Marjerin: Marjerin diperbuat daripada minyak sayuran, maka ia mengandungi lemak tidak tepu atau ‘lemak baik’.
Namun, tak semua marjerin mempunyai komposisi yang sama, di mana sesetengah marjerin mengandungi lemak trans atau ‘lemak sangat jahat’. Secara umumnya, lebih kental marjerin itu, lebih banyaklah lemak trans yang terkandung di dalamnya. Jadi, pakar menyarankan agar pengguna memilih jenis marjerin yang lembut atau separa pepejal.
Butter: Memandangkan butter diperbuat daripada lemak haiwan, maka ia mengandungi lebih banyak lemak tepu.
Walaubagaimanapun, butter dikatakan turut mengandungi nutrisi penting seperti Omega-3 dan Omega 6 yang tidak terdapat dalam marjerin.
Apapun, periksa label untuk pastikan kandungannya dengan tepat.
5. HARGA
Marjerin: Harga marjerin umumnya jauh lebih murah berbanding butter. Kalau diikutkan sejarahnya, ia sememangnya dicipta pada tahun 1869 sebagai alternatif yang mampu milik kepada butter.
Antara jenama marjerin terkenal di Malaysia adalah Planta, Daisy, dan Naturel.
Butter: Harga butter biasanya lebih mahal, lebih-lebih lagi yang dilabelkan sebagaipure butter.
Antara jenama pure butter yang famous di Malaysia termasuklah Anchor, Golden Churn, dan SCS.
NOTA: Terdapat juga produk campuran marjerin dan butter atau produk yang dilabel sebagai lepa susu. Ramai yang keliru dan menganggap ia adalah butter. Antara jenama yang termasuk dalam kategori ini adalah Buttercup, Butterlite dan lain-lain.
KEDUA-DUANYA PERLU DIKAWAL PENGAMBILANNYA
Mungkin marjerin tak dapat menandingi pure butter dari segi aroma, tekstur dan rasa. Namun, marjerin adalah pilihan yang ekonomi bagi kebanyakan pengguna.
Walau apa pun, perlu diingat bahawa kedua-duanya mengandungi kalori serta lemak yang tinggi. Kebanyakan jenis biskut, roti, dan kek memang sedap apabila menggunakan butter mahupun marjerin sampai susah kita nak berhenti makan! Jadi, jangan lupa kawal pengambilannya ya
Comments
Post a Comment