Bila Asyik Nak ‘Terkucil’ Masa Mengandung, Mama Kena ‘Take Note’ 5 Perkara Ini
“Alamak, tadi baru je pergi tandas, ni nak terkucil lagi. Kenapalah asyik rasa nak terkencing ni, padahal bukannya minum banyak pun.”
Salah satu simptom ibu mengandung yang paling meletihkan adalah trip ulang-alik ke tandas yang tak terkira banyaknya. Ada yang melalui masalah ini pada awal kehamilan dan ramai juga yang mengalaminya pada hujung kehamilan.
Bayangkan betapa lecehnya nak cari tandas kalau kita keluar ke mana-mana, tidur malam pun tak lena sebab asyik terjaga, dan kalau tersekat dalam jammed lagilah naya!
Walaupun dah control minum, tetap juga rasa macam tak boleh ditahan. Bagaimana boleh rasa begini dan apa yang perlu dilakukan?
Jom ketahui beberapa perkara tentang masalah kerap kencing ketika hamil ini.
KERAP KENCING KETIKA HAMIL. INI 5 PERKARA MAMA PERLU FAHAM
1. PUNCA KERAP KENCING DI AWAL KEHAMILAN
Dalam minggu-minggu terawal kehamilan, masalah kerap kencing sering berlaku disebabkan pertambahan isipadu darah dan cecair yang digunakan oleh tubuh untuk membantu proses kehamilan akan disingkirkan oleh ginjal.
Anda mungkin akan merasakan simptom ini seawal beberapa minggu kehamilan. Malah, ia mungkin menjadi petanda kehamilan yang lebih jelas berbanding simptom lain seperti muntah-muntah, mual, mengidam atau rasa tak sedap badan.
2. PUNCA KERAP KENCING DI AKHIR KEHAMILAN
Dalam fasa akhir kehamilan, bayi dalam kandungan semakin membesar dan kian menurun ke posisinya sebagai persediaan hari kelahiran. Keadaan ini memberi tekanan pada pelvis dan seterusnya meletakkan beban pada pundi kencing. Ini menyebabkan kita rasa asyik nak ke tandas berulang kali dalam tempoh masa yang pendek.
Selain itu, Mama juga mungkin akan terkencing sedikit ketika bersin, batuk, atau ketawa – terutamanya jika pundi kencing Mama berada dalam keadaan penuh. Untuk mengelakkan ia daripada berlaku, anda boleh memastikan anda mengosongkan pundi kencing dengan membongkokkan sedikit badan ketika membuang air kecil.
3. APA YANG BOLEH MEMBANTU MENGURANGKAN KEKERAPAN KE TANDAS?
Bagi mengurangkan kekerapan ke tandas terutamanya pada waktu malam, Mama boleh cuba meminum lebih banyak air pada waktu siang.
Kalau nak minum kopi, teh, atau minuman berkafein yang lain, seeloknya minum pada waktu siang kerana semua minuman ini bersifat diuretik, iaitu meningkatkan pengumuhan air daripada badan.
4. MUNGKIN MASALAH ‘KENCING KOTOR’
Walaupun masalah kerap membuang air kecil ini adalah normal bagi kebanyakan ibu mengandung, ada juga yang mengalaminya akibat jangkitan ‘kencing kotor’ atau urinary tract infection (UTI).
Masalah UTI ini boleh berlaku pada hampir 10% wanita hamil. Ia berpunca akibat jangkitan bakteria pada sistem urinari tubuh yang meliputi bahagian ginjal, ureter, pundi kencing, dan uretra.
Antara tandanya termasuklah:
- Kerap membuang air kecil / tak lawas
- Rasa pedih ketika membuang air kecil
- Demam
- Rasa sakit pada bahagian abdomen
- Sakit belakang
Masalah kencing kotor tidaklah merbahaya dan mudah untuk dirawat. Namun, ia memerlukan rawatan awal kerana masalah yang berlarutan boleh menyebabkan komplikasi hingga menjadi punca kelahiran pramatang.
5. ADAKAH KESAN SELEPAS KELAHIRAN BAYI NANTI?
Menurut BabyCenter, dalam tempoh beberapa hari selepas kelahiran bayi, anda akan mengeluarkan lebih banyak air kencing dan kerap ke tandas kerana tubuh anda sedang membuang segala cecair tambahan dalam sistem darah yang digunakan bayi menyokong proses kehamilan.
Tidak lama selepas itu, kekerapan ke tandas akan kembali seperti sebelum hamil. Anda juga boleh melakukan senaman Kegel bagi membantu pengawalan pundi kencing dengan lebih efektif.
JANGAN MALU DAPATKAN RAWATAN SEKIRANYA IA BERTERUSAN
Sekiranya masalah ini mengganggu aktiviti harian dan tetap berterusan walaupun setelah melahirkan, Tidak perlu malu untuk memaklumkan atau membincangkan masalah ini bersama ahli keluarga dan doktor anda.
Comments
Post a Comment