Walaupun Tinggi Vitamin, Carrot & Labu Boleh Buat Kulit Bayi ‘Kuning’

Walaupun Tinggi Vitamin, Carrot & Labu Boleh Buat Kulit Bayi ‘Kuning’ 


“Eh, kenapa dah lain macam je muka Aqeef ni? Tak sihat ke? Warna kuning-kuning hidungnya, takkanlah umur 9 bulan pun boleh kena jaundis?”
Memang bagus bila diajar anak makan macam-macam jenis sayuran dan buah-buahan. Tapi cuba semak semula sama ada dalam 1-2 hari ini semua sayuran dan buah-buahan yang diberi pada anak tergolong dalam jenis tinggi karoten.
Ini kerana ia boleh menyebabkan carotenemia atau carotenodermia. Ia adalah keadaan di mana kulit anak bertukar warna kekuningan terutamanya pada tapak kaki, tangan bayi dan bahagian yang banyak berpeluh seperti hidung bayi.
Wah, nampak macam bahaya kan? Tapi sebenarnya ia agak kerap berlaku pada si kecil. Mari ketahui beberapa perkara penting tentangnya.

5 PERKARA IBU AYAH PERLU TAHU TENTANG CAROTENEMIA

1. BAGAIMANA CAROTENEMIA TERJADI

Carotenemia atau carotenodermia boleh berlaku dengan kehadiran beta karoten yang tinggi dalam darah. Ia akan menyebabkan warna kulit anak bertukar kekuningan atau oren akibat memakan banyak sumber makanan tersebut.
Keadaan ini biasanya dialami oleh anak kecil kerana tindakan melenyek makanan boleh meningkatkan penyerapan karoten.
gula dan garam pada makanan bayi
Foto Kredit: babyfoode.com

2. ADAKAH IA MERBAHAYA?

Walaupun nampak mencemaskan, namun ibu ayah tak perlu terlalu risau kerana carotenemia adalah tidak merbahaya. Ia akan hilang sendiri dalam sedikit masa lagi.
Selagi bayi masih menyusu dan mendapatkan zat secukupnya, anda tak perlu risau kerana keadaan ini adalah sementara sahaja.
Namun tak ada salahnya jika anda ingin berjumpa doktor untuk memastikan ia bukanlah jaundis, diabetes, hypothyroidism atau masalah lain.

3. MAKANAN YANG MENYEBABKAN CAROTENEMIA

Kebanyakan makanan yang menyebabkan carotenemia adalah berwarna kuning atau oren. Namun, ia juga terdapat dalam sayuran hijau seperti bayam. Semakin gelap warna hijaunya, semakin tinggi karotennya.
Karoten  ini merupakan sumber utama vitamin A dan selalunya ia terdapat dalam sayuran atau buah-buahan manis. Jadi, tak hairanlah bayi amat menggemarinya.
Antara makanan yang tinggi kandungan beta karoten termasuklah
  • Lobak merah (carrot)
  • Winter squash
  • Keledek
  • Labu
  • Betik
  • Oren / buah-buahan berwarna oren
  • Bayam
  • Kuning telur
  • Jagung
  • Keladi

4. IA JUGA BOLEH DISEBABKAN OLEH SUSU IBU

Selain daripada makanan di atas, susu ibu juga boleh menjadi punca carotenemia kerana ia turut memiliki nutrien beta karoten.
Jadi, bayi yang masih belum makan juga boleh terkena carotenemia akibat susu ibu yang diminumnya, lebih-lebih lagi sekiranya si ibu memakan banyak makanan yang tinggi beta karoten seperti dalam senarai di atas.
Foto Kredit: arrahman.id

5. ‘STOP’ SEKEJAP MAKANAN TINGGI KAROTEN

Selalunya bayi yang mengalami keadaan ini sedang melalui fasa di mana mereka hanya suka satu makanan tertentu seperti labu atau lobak merah. Jadi, kita pun seronoklah masak macam-macam resepi menggunakan bahan makanan yang mereka suka ini. Sedar tak sedar, muka anak dah jadi kuning!
Jika ini berlaku, limitkan seketika pengambilan makanan tinggi karoten sehingga kulit anak kembali normal.
makanan ibu menyusu
Foto Kredit: motherhow.com

PELBAGAIKAN HIDANGAN DALAM DIET IBU MENYUSU & BAYI

Apa pun, kata kuncinya adalah kesederhanaan. Maka cuba pelbagaikan hidangan dalam diet harian bayi dan juga ibu menyusu.
Bagi ibu menyusu, seeloknya makan makanan ini dalam keadaan yang paling natural,iaitu tanpa dimasak atau dilenyek kerana ia boleh memusnahkan serat, lalu mempercepatkan proses penyerapan beta karoten tadi.

Comments